KOTA KINABALU: Lebih 700 peserta dari seluruh Sabah telah menyertai Program Healthcare Charity Run 2026, yang bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, tapi menjadi platform membantu pesakit talasemia di negeri ini menerusi kutipan dana.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, program anjuran Persatuan Amal dan Ehsan Jururawat Hospital Queen Elizabeth Sabah itu wajar dipuji kerana berjaya menggabungkan elemen kesihatan dan kebajikan dalam satu platform yang inklusif.
“Ini merupakan satu program yang cukup baik kerana di samping kita mengadakan larian atau Fund Run ia juga dapat membantu mereka-mereka yang memerlukan bantuan khususnya kepada pesakit-pesakit Talasemia di Sabah.
“Program seumpama ini juga adalah satu program yang bertepatan dengan aspirasi Kementerian ini kerana saya telah memfokuskan untuk menjadikan sukan yang berbentuk komuniti ini supaya menjadi amalan dan budaya masyarakat di Sabah tidak kira umur supaya kita menjaga kesihatan kita di samping kita ingin mewujudkan sukan berprestasi tinggi dan juga mewujudkan pusat-pusat kecemerlangan sukan di Sabah ini,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan program tersebut hari ini.
Terdahulu Nizam dalam ucapannya turut berkata bahawa, sukan bukan sekadar mengejar prestasi atau kemenangan, sebaliknya merupakan medium penting untuk menyatukan masyarakat dan membina nilai kemanusiaan.
“Sukan mampu menjadi jambatan yang menghubungkan kesihatan fizikal dengan keprihatinan sosial. Inilah kekuatan sebenar masyarakat kita apabila kita saling menyokong dan tidak membiarkan sesiapa berjuang sendirian,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau berkata kutipan dana melalui program itu akan disalurkan kepada Persatuan Talasemia Sabah bagi membantu pesakit yang memerlukan sokongan berterusan.
“Pesakit-pesakit Talasemia berhadapan dengan cabaran berterusan dalam kehidupan mereka. Sumbangan yang kita hulurkan hari ini mungkin kecil, tetapi besar maknanya kepada mereka kerana ia memberi kekuatan dan semangat,” katanya.
Beliau berharap program berimpak tinggi seperti itu dapat diteruskan dan diperluaskan sebagai acara tahunan, selain menjadi contoh kepada lebih banyak kelab dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan inisiatif serupa.
“Saya berharap program seperti ini akan terus diperkasakan dan saya difahamkan akan dijadikan sebagai acara tahunan kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan fizikal, tetapi turut memberi kesan mendalam kepada masyarakat,” katanya.






