KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan tegas terhadap kenderaan yang diletakkan di jalan dan tempat awam sekitar kawasan perumahan, susulan peningkatan aduan orang awam berhubung kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, DBKK memaklumkan bahawa tindakan ini diambil mengikut peruntukan Undang-undang Kecil (UUK) Jalan-jalan dan Tempat Awam 1966, yang membolehkan kompaun sehingga RM500 dikenakan terhadap pemilik kenderaan yang ingkar.
“Kenderaan sepatutnya diletakkan di dalam kawasan rumah masing-masing, bukan di bahu jalan atau ruang awam sekitar taman perumahan.
“Perbuatan ini bukan sahaja menjejaskan kelancaran trafik, malah menyukarkan akses kecemasan sekiranya berlaku kejadian seperti kebakaran,” menurut kenyataan itu.
DBKK menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan ini bertujuan memastikan persekitaran bandar kekal tersusun, bersih dan selamat, sejajar dengan aspirasi menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandaraya pintar dan lestari.
Walaupun tindakan penguatkuasaan akan diteruskan, DBKK tetap komited untuk mendidik masyarakat secara berterusan melalui kempen kesedaran dan hebahan maklumat menerusi pelbagai saluran, termasuk media sosial.






