KOTA KINABALU: Parti Warisan menggesa Jabatan Air Negeri Sabah supaya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isu gangguan bekalan air yang berlarutan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan kawasan sekitarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai – Warisan, Sarifuddin Hata, menyifatkan kenyataan Jabatan Air yang mendakwa gangguan berpunca daripada kerosakan pam dan meter air dalam kampus UMS sebagai tidak berasas dan mengelirukan.
“Masalah air ini bukan sahaja berlaku di UMS, tetapi turut dirasai di kawasan lain seperti Tuaran dan Sepanggar. Ini jelas menunjukkan kegagalan sistemik dalam penyampaian perkhidmatan asas oleh jabatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Sarifuddin turut memetik kenyataan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansur, yang menyifatkan dakwaan Jabatan Air sebagai satu penghinaan kepada universiti tersebut, lebih-lebih lagi apabila pelajar-pelajar sendiri terpaksa berhimpun dan membuat bantahan akibat kesengsaraan berpanjangan.
Menurut Prof. Dr. Kasim, masalah sebenar bukan berpunca daripada sistem dalaman UMS, tetapi akibat kegagalan Jabatan Air menyalurkan bekalan air yang mencukupi ke kampus tersebut.
“UMS yang terletak di kawasan berbukit sering mengalami tekanan air rendah. Keadaan diburukkan lagi apabila kawasan tanah rendah diberikan keutamaan, meskipun tangki utama R13 terletak dalam kawasan UMS sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, Warisan mendesak Jabatan Air Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri tampil dengan penjelasan terbuka serta bertanggungjawab menyelesaikan isu ini dengan segera.






