KUCHING, SABAH – Kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak menunjukkan kemahuan rakyat terhadap kestabilan politik serta sokongon terhadap manifesto GPS.
Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata, mandat yang diberikan itu akan membangunkan dasar ekonomi dan sosial selaras dengan misi mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2030.
“Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang diluluskan secara majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat baru-baru ini merupakan satu pembuka jalan ke arah kejayaan dan pembangunan yang lebih besar untuk rakyat Sarawak selain menunjukkan komitmen GPS dan Bersatu Sarawak di peringkat Persekutuan demi rakyatnya.
“Kejayaan kelulusan MA 63 adalah satu manifestasi yang benar-benar memberi pengiktirafan kepada tuntutan dan status istimewa Sabah dan Sarawak apabila menyertai Malaysia…
“Ini meletakkannya setaraf dengan Perjanjian Persekutuan 1948 dan Perjanjian Persekutuan 1957 sekali gus membantu usaha kerajaan negeri untuk meletakkan Sarawak pada kedudukan yang sama dengan Semenanjung sebagai rakan wilayah dalam Malaysia,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Beliau berkata Bersatu Sarawak telah menunjukkan komitmen yang tinggi selama ini dalam memastikan kemenangan GPS dalam PRN-12.
“Kemenangan ini sesungguhnya adalah kemenangan untuk seluruh rakyat Sarawak,” tambahnya.
Beliau juga berharap kepimpinan GPS dapat terus menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat.
“Saya ingin mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada Pengerusi GPS dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Abdul Rahman Johari Abang Openg…
“Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sarawak yang terus mengundi GPS dan memahami dengan sokongan padu yang diberikan ini ia dapat meneruskan pembangunan lebih cemerlang kepada semua rakyat di negeri ini tanpa mengira agama, bangsa dan etnik,” tambahnya.