
KOTA KINABALU, SABAH – Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) mengutip RM3 juta menerusi kutipan fidyah dan Kumpulan Wang Amal Jariah tahun lepas.
Pengerusi PBNS, Datuk Dr Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar berkata, jumlah tersebut akan diagihkan kepada kumpulan sasar dan diharapkan PBNS dapat memperkasakan lagi kutipan di samping menghasilkan dana tambahan selain daripada kutipan.
“PBNS juga berjaya membuka cawangan baru di Tawau dan Sandakan tahun lepas serta akan berusaha membuka cawangan di daerah lain,” katanya selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Selain PBNS, Tun Juhar turut menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia, Irfan Davudov.
Irfan dilantik menjadi duta pada Julai 2021 dan kunjungannya terhadap Tun Juhar bertujuan untuk membina hubungan kerjasama antara kerajaan negeri bersama Azerbaijan.
Beliau juga memaklumkan akan bertemu dengan Ketua Menteri dan Speaker Dewan Undangan Negeri bagi mengembangkan hubungan dua hala dalam bidang ekonomi, pelaburan dan pendidikan. — JABATAN PENERANGAN SABAH