Sabah Dibelasah 0-5, Johor Isytihar Cuti Khas Sempena Kejuaraan Keempat Berturut-turut JDT

Sabah Dibelasah 0-5, Johor Isytihar Cuti Khas Sempena Kejuaraan Keempat Berturut-turut JDT

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Impian Sabah FC untuk mencipta kejutan di pentas final Piala FA 2025-2026 berkecai apabila mereka dibelasah 5-0 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam Ahad.

Pasukan Sang Badak sudah ketinggalan jauh seawal babak pertama apabila JDT mendahului 3-0 hasil jaringan Jonathan Silva pada minit kelapan, gol sendiri Rawilson Batuil (20) serta jaringan Jairo da Silva tiga minit kemudian. 

Separuh masa pertama berakhir dengan Sabah terus tertekan dan gagal merangka kebangkitan.

Malang Sabah berterusan selepas rehat apabila mereka kehilangan tonggak tengah Miguel Cifuentes yang dilayangkan kad merah, memaksa pasukan bermain dengan 10 orang. 

Situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh JDT dengan Oscar Arribas menambah jaringan keempat pada minit ke-64 sebelum Manuel Hidalgo melengkapkan kemenangan besar menerusi gol masa kecederaan.

Kekalahan ini menyaksikan Sabah bukan sahaja gagal meraih trofi, malah terpaksa menerima hakikat ditewaskan dengan jurang besar di pentas final, sekali gus menamatkan kempen Piala FA mereka dengan penuh kekecewaan.

Kejayaan tersebut mengesahkan kejuaraan Piala FA keempat berturut-turut buat JDT serta trofi kelima mereka sejak penjenamaan semula kejohanan itu pada 2013.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut menzahirkan ucapan tahniah kepada JDT, sambil berharap pencapaian itu menjadi pemangkin kepada kemajuan bola sepak negara.

Di Johor Bahru, Kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan esok sebagai cuti khas peristiwa bagi seluruh negeri Johor bagi meraikan kejayaan JDT.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pengisytiharan itu dibuat menjunjung titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail sebagai penghargaan terhadap dominasi berterusan JDT dalam bola sepak tanah air.

Bagaimanapun, Onn Hafiz menegaskan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan esok akan diteruskan seperti biasa.

Katanya, kejayaan JDT adalah hasil komitmen tinggi pemain, jurulatih dan pengurusan, serta sokongan padu Bangsa Johor yang tidak pernah surut.

Perlawanan akhir itu disaksikan seramai 40,044 penonton, namun bagi Sabah FC, malam di Bukit Jalil berakhir sebagai peringatan pahit tentang jurang yang masih perlu dirapatkan untuk menyaingi kuasa dominan bola sepak negara.