BANGKOK: Pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah menghadiahkan emas pertama badminton Malaysia di Sukan SEA selepas menewaskan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji-Meilysa Puspitasari, dalam aksi final mendebarkan di Universiti Thammasat, Pathum Thani pada Ahad (14 Dis).
Dalam perlawanan maraton selama 86 minit, Pearly-Thinaah diuji hebat sebelum menang 21-16, 19-21, 21-17, sekali gus menamatkan penantian 10 tahun negara bagi gelaran beregu wanita Sukan SEA, kali terakhir dimenangi Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho pada edisi 2015 di Singapura.
Kejayaan itu hadir selepas gandingan ranking dunia No. 2 tersebut mempamerkan semangat juang tinggi sejak peringkat separuh akhir, meskipun Pearly berdepan masalah batuk dan ketidakselesaan fizikal.
Pada aksi separuh akhir, Pearly-Thinaah dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan satu lagi pasangan Indonesia, Rachel Allesya-Febi Setianingrum, 21-14, 19-21, 21-16 dalam tempoh 78 minit.
Pearly mengakui keadaan fizikalnya tidak berada pada tahap terbaik, namun memuji peranan Thinaah yang banyak membantunya sepanjang perlawanan.
Thinaah pula berkata sokongan antara mereka menjadi kunci untuk terus bertahan dalam perlawanan-perlawanan getir.
Beraksi buat kali pertama di Sukan SEA, Pearly-Thinaah meneruskan musim cemerlang apabila menambah emas Sukan SEA kepada kejuaraan Terbuka Thailand, Terbuka Artik dan Japan Masters yang dimenangi tahun ini.
Mereka turut muncul naib juara Kejohanan Dunia, Terbuka Jepun, Terbuka Indonesia dan Indonesia Masters.
Kemenangan ke atas Febriana-Meilysa turut mengekalkan rekod bersih Pearly-Thinaah ke atas pasangan itu, selepas memenangi ketiga-tiga pertemuan sebelum ini, sekali gus mengesahkan tahun gemilang buat beregu wanita negara.






