Nahas Pesawat “Hawk 108”, 2 Anggota TUDM Terkorban

Nahas Pesawat “Hawk 108”, 2 Anggota TUDM Terkorban

0
SHARE

KUANTAN, PAHANG –  Dua juruterbang pesawat Hawk 108 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan hilang jam 11.30 pagi tadi disahkan meninggal dunia.

Mereka ditemui kira-kira jam 2.30 petang tadi di kawasan berhampiran Kampung Chukai, dekat Kemaman, Terengganu.

Perkara itu disahkan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang pada sidang media khas di Pangkalan TUDM Kuantan, di sini, tengah hari tadi.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui 20 meter antara satu sama lain dengan payung terjun masing-masing.

“Kita percaya mereka sempat menarik kerusi anjal ketika pesawat itu mula hilang kawalan.

“Mereka adalah juruterbang berpengalaman dan ini adalah kehilangan besar kepada kami.

“Juruterbang yang meninggal dunia ialah Mejar Mohd Hasri Zahari dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof,” katanya.

Mejar Mohd Hasri dari Bandar Baru Jempol, Negeri Sembilan manakala Mejar Yazmi Mohamed Yusof dari Kuala Lumpur.

TUDM mempunyai enam pesawat jenis Hawk 108 yang mempunyai dua tempat duduk yang digunakan sebagai pesawat latihan.

Sementara itu, TUDM menggantung sementara perkhidmatan pesawat pejuang Hawk 108 sehingga siasatan terhadap nahas itu

Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengucapkan takziah kepada keluarga dua juruterbang yang terkorban hari ini melalui laman Twitter beliau.

Pagi ini, TUDM mengesahkan pesawat jenis Hawk 108 miliknya hilang di utara Kuantan iaitu di sempadan Terengganu dan Pahang, setelah terputus hubungan pada 11.30 pagi tadi.

Pesawat itu hilang semasa terbang di sempadan Terengganu dan Pahang di utara Kuantan, kata TUDM dalam satu kenyataan.

Berita terkini mengesahkan bangkai pesawat pejuang Hawk 108 tersebut belum ditemui sehingga kini.

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed, berkata usaha mencari pesawat malang yang terputus hubungan dengan menara kawalan selepas berlepas pada jam 11 pagi dari Pangkalan Udara TUDM Kuantan, di sini, masih giat dijalankan.