ARAU: Menteri Besar Perlis yang baharu dilantik, Abu Bakar Hamzah, berikrar untuk menyelaraskan hubungan antara Pas dan Bersatu susulan ketegangan yang timbul dalam Perikatan Nasional (PN) negeri itu, memetik laporan New Straits Times.
Abu Bakar yang juga Pengerusi Bersatu Perlis dan Timbalan Pengerusi PN menyifatkan perbezaan pandangan tersebut sebagai perkara biasa dalam politik dan yakin kepimpinan tertinggi kedua-dua parti mampu menyelesaikannya secara harmoni.
Beliau berkata demikian selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, di Istana Arau pada kira-kira jam 4 petang semalam, susulan krisis politik yang membawa kepada peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli sebagai menteri besar.
Mengulas isu tiga ADUN Pas yang dipecat dan lima ADUN Bersatu yang menarik sokongan, Abu Bakar berkata perkara itu diserahkan kepada proses serta peraturan parti, dengan harapan dapat diselesaikan tanpa perlu diadakan pilihan raya kecil.
Menurutnya, sebarang tindakan mesti mematuhi perlembagaan parti dan keutamaan adalah mengekalkan perpaduan dalam PN demi kestabilan dan kemajuan Perlis.






