Datuk Didakwa Tipu Warga Emas RM27 Juta Dalam Tawaran Saham Projek

Datuk Didakwa Tipu Warga Emas RM27 Juta Dalam Tawaran Saham Projek

0
SHARE
Gambar Hiasan (Dihasilkan gemini.AI)

KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tujuh pertuduhan menipu seorang lelaki warga emas berusia 75 tahun membabitkan tawaran saham syarikat pembangunan hartanah, menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM27 juta.

Datuk Chee Chi Vun, 52, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Tuan Zaini Fishir @ Faisal selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kerana melakukan perbuatan jenayah secara bersama.

Tertuduh bersama seorang lagi individu yang masih bebas didakwa memperdaya mangsa, Tan Sri See Hong Cheen @ See Hong Chen, untuk mengeluarkan beberapa keping cek bagi mendapatkan pegangan 45 peratus saham dalam syarikat Deevin Development Sdn Bhd serta jawatan pengarah.

Kesalahan didakwa dilakukan di Kota Kinabalu dan Penampang antara 25 April hingga 30 Ogos 2022.

Mengikut fakta kes, mangsa pada 2021 ditawarkan penyertaan dalam tender terbuka projek pembangunan milik Kerajaan Negeri Sabah dan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah bernilai lebih RM1 bilion bagi pembinaan pejabat kastam.

Mangsa bersetuju dengan syarat memperoleh pegangan saham seperti dijanjikan dan menandatangani dokumen pindah milik saham serta lantikan pengarah.

Antara 24 April hingga 30 Ogos 2022, mangsa membuat tujuh bayaran berjumlah RM20 juta ke akaun diberikan, selain baki RM7 juta dalam bentuk kontra modal terdahulu.

Syarikat tertuduh kemudian memperoleh projek berkenaan, namun saham didakwa tidak dipindahkan seperti dijanjikan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3 juta dengan deposit RM1.5 juta serta dua penjamin tempatan.

Kes ditetapkan untuk pengurusan pada 6 April depan.