500 Ahli STAR Tambunan Berhijrah ke PGRS, Sokong Politik Stabil

500 Ahli STAR Tambunan Berhijrah ke PGRS, Sokong Politik Stabil

0
SHARE

TAMBUNAN: Hampir 500 ahli Star Sabah dari Mukim Monsorulung dan Mukim Lintuhun bertindak keluar parti untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan dalam satu majlis di Kampung Tikolod, pada petang Sabtu.

Penyerahan borang keahlian kumpulan itu disampaikan kepada Ketua Bahagian PGRS Tambunan, Datuk Victor Peter Paut.

Wakil kumpulan, Jaibie Joseph, berkata keputusan tersebut dibuat demi menyokong kepimpinan yang lebih berwawasan serta mampu menjamin kestabilan politik berterusan.

Lazimnya, penghijrahan berlaku menjelang pilihan raya, namun kami memilih untuk melakukannya selepas pilihan raya sebagai tanda komitmen terhadap hala tuju baharu,” katanya.

Sementara itu, wakil Mukim Lintuhun, Jackly Jamari berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan yang lebih konsisten di bawah kepimpinan Ketua Menteri merangkap Presiden PGRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, serta kepimpinan bahagian yang disifatkan lebih mantap.

Dalam majlis sama, Victor menyarungkan baju PGRS kepada wakil kumpulan sebagai simbol penyertaan rasmi. Program turut diserikan dengan penyampaian sijil kepada peserta Kursus Ternak Ulat Sago (Butod) serta watikah pelantikan kepada anggota parti yang dilantik ke jawatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dalam ucapannya, Victor menegaskan bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Hajiji telah terbukti membawa pembangunan, kestabilan dan kemakmuran negeri sepanjang tempoh pentadbiran.

“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk pembangunan infrastruktur luar bandar, sokongan kepada belia, peluang kemahiran dan inisiatif pendidikan,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan Tambunan untuk mengejar arus pembangunan agar setanding dengan daerah lain, khususnya dalam sektor pelancongan, pertanian, kraftangan dan ekonomi kreatif.

“Tindakan itu memerlukan perpaduan dan kesepakatan rakyat, selain menjauhi sentimen negatif yang boleh merencatkan kemajuan,” ujarnya.