Rakaman CCTV Tunjuk Gwynne Tnggalkan Lokasi Bersama Proton Saga

Rakaman CCTV Tunjuk Gwynne Tnggalkan Lokasi Bersama Proton Saga

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ibu saudara kepada seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang di Likas tampil berkongsi rakaman terakhir anak saudaranya di Facebook, sambil merayu bantuan orang ramai untuk mengesan sebuah kereta Proton Saga yang dipercayai terlibat.

Jaime Crystal berkata setakat ini hanya dua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya diperoleh, dan dalam salah satu rakaman, remaja terbabit dilihat meninggalkan lokasi bersama sebuah Proton Saga berwarna coklat gelap.

Beliau meminta orang ramai, khususnya ibu bapa atau pengguna jalan raya yang melalui laluan antara SK Lok Yuk, Likas dan SM Lok Yuk, Likas sekitar jam 5.35 pagi hingga 6.35 pagi pada Isnin (27 Julai) lalu supaya menyemak rakaman dashcam masing-masing.

Sebarang maklumat berkaitan mangsa atau kenderaan terbabit amat penting untuk membantu siasatan. Setiap maklumat boleh membantu membawa Gwen Mia pulang dengan selamat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan pihak sekolah memberi kerjasama penuh kepada polis dan pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan, selain menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih.

Sementara itu, Polis Daerah Kota Kinabalu memaklumkan mangsa, Gwynne Mia Erbin, 12, dilaporkan hilang selepas dihantar ke hadapan SMK Lok Yuk, Likas sekitar jam 5.55 pagi pada hari kejadian.

Mangsa yang beralamat di Taman Kingfisher di sini mempunyai ciri fizikal berbadan sederhana, berkulit cerah, berketinggian kira-kira 155 sentimeter, bermata coklat, berambut hitam pendek serta berbulu kening tebal.

Ketika kali terakhir dilihat, mangsa memakai pakaian seragam sekolah jenis pinafore berwarna biru, kasut putih dan membawa beg berwarna putih bercorak bunga.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau Pegawai Penyiasat, Insp. Kamarul Rashdan Suffian Long di talian 014-8458490, atau terus kepada keluarga di talian 012-8840233.