SABAH HARAP PINDAAN RUU ORDINAN BURUH SABAH DISOKONG SEMUA AHLI PARLIMEN: KM...

SABAH HARAP PINDAAN RUU ORDINAN BURUH SABAH DISOKONG SEMUA AHLI PARLIMEN: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerima ikrar membanteras buruh paksa dan buruh kanak-kanak yang ditandatangani oleh para majikan pada Konvensyen Memerangi Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa Tahun 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC) - ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri berharap pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Ordinan Buruh Sabah yang dijadualkan pada sesi Persidangan Parlimen Penggal Keempat pada Oktober 2024, mendapat sokongan sebulat suara daripada semua Ahli Parlimen.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, RUU Akta Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 telah dibentangkan untuk bacaan pertama oleh Menteri Sumber Manusia semasa sesi Parlimen Pertama Penggal Ketiga pada 17 Julai lepas.

“Saya amat berharap bacaan kali kedua pindaan RUU ini yang dijadualkan pada sesi persidangan Parlimen Penggal Keempat pada Oktober 2024 akan mendapat sokongan sebulat suara daripada semua Ahli Parlimen.

“Saya amat yakin dengan pindaan Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) ini akan memberi manfaat kepada majikan dan pekerja di negeri Sabah dengan panduan yang lebih terperinci dan teratur untuk semua pihak dalam meningkatkan hubungan industri yang lebih harmoni dan kondusif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Memerangi Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa Tahun 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Khamis.

Hajiji berkata, kerajaan negeri telah memberi persetujuan dan sokongan sepenuhnya kepada pindaan RUU terbabit.

Menurutnya, salah satu daripada 16 perkara pindaan tersebut adalah berkaitan dengan isu hak manusia dan buruh serta penghapusan diskriminasi yang memperuntukkan kesalahan dan hukuman kepada majikan atau mana-mana pihak yang mengamalkan amalan pemerdagangan orang, buruh paksa dan buruh kanak-kanak.

Katanya, ini selaras dengan peranan kerajaan meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai bukti komitmen kerajaan menghapuskan buruh paksa di negara ini.

Beliau berkata, jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa perlu ditangani dengan bijaksana mengikut dasar dan perundangan sedia ada agar ia dapat dibendung dan dibanteras supaya tidak menjadi isu di peringkat negeri dan antarabangsa.

Katanya, kerajaan negeri memberi perhatian serius dan komited dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang dan amalan buruh paksa di negeri ini, yang memerlukan kerjasama kukuh dan koordinasi antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan, badan bukan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.

“Kedudukan negeri ini yang berkongsi sempadan dengan beberapa negara termasuk Indonesia dan Filipina sehingga perjalanan merentas sempadan lebih mudah, yang sekaligus menjadikan Sabah terdedah kepada aktiviti migrasi rentas sempadan, pemerdagangan orang dan buruh paksa,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri mengiktiraf dan memperakui peranan penting Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi yang dilantik dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa di Malaysia.

Beliau juga berharap kira-kira 178,000 majikan di negeri ini akan sama-sama mengambil
bahagian menandatangani ikrar dan akujanji dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa.