KOTA KINABALU: Ketua Exco Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Jordan Jude Ellron, diumumkan sebagai calon STAR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Pengumuman itu dibuat oleh Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dalam satu majlis di sini, pada Selasa.
“Saya akan berusaha keras untuk memastikan satu lagi kerusi milik STAR Sabah,” kata Jeffrey dalam hantaran terbaharu di media sosialnya.
Sementara itu, Jordan berkata manifesto PRN untuk kawasan Tulid akan dibentangkan dalam masa terdekat.
“Visi, misi dan objektif pembangunan kawasan ini akan disesuaikan dengan keperluan semasa, pentadbiran yang pantas, efisien dan tepat pada masanya.
“Sebagai generasi muda, kami akan meneruskan perjuangan menuntut hak-hak Sabah yang masih belum dipenuhi,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat Tulid agar memberi sokongan padu kepada STAR dalam pilihan raya negeri yang bakal diadakan.
Jordan, berusia 28 tahun, dijangka berdepan bekas ADUN STAR, Datuk Flovia Ng, yang dijangka mempertahankan kerusi itu di bawah tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS), serta Naib Presiden Parti KDM, Dr Oswald Aisat.






