KUALA LUMPUR: Dunia hiburan tanah air dikejutkan semalam apabila dua anggota kumpulan rock legenda, Wings, pemain dram Azmi Hashim atau Black dan pemain bass Samsaidi Ulong Idris atau Eddie, mengumumkan pengunduran diri mereka secara serta-merta.
Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan bersama yang diedarkan kepada media sejak kelmarin.
“Kami, Azmi Hashim atau dikenali sebagai Black Wings dan Samsaidi Ulong Idris atau Eddie Wings, telah mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari kumpulan Wings berkuat kuasa serta-merta iaitu pada hari ini, Rabu, 8 Oktober 2025.
“Dengan ini kami juga ingin memaklumkan bahawa kami tidak akan terlibat dalam Konsert Wings 40 Tahun Celebration yang dijadualkan berlangsung pada 28 November 2025 di Kuala Lumpur dan 24 Disember 2025 di Singapura,” menurut kenyataan itu yang turut disertakan tanda tangan kedua-dua ahli berkenaan.
Pengumuman mengejut itu sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat, khususnya menjelang konsert ulang tahun ke-40 kumpulan berkenaan di Idea Live Arena, Petaling Jaya, yang difahamkan telah mendapat sambutan luar biasa.
Menurut laporan BH Online, ini bukan kali pertama Black meninggalkan Wings.
Beliau pernah berundur pada tahun 1990 selepas album Domino Theory, namun kembali bersama kumpulan itu pada 1995 ketika rakaman album Orang Asing.
Sebaliknya, Eddie yang menyertai Wings sejak 1985 tidak pernah meninggalkan kumpulan itu sebelum ini.
Dengan pengunduran dua anggota penting ini, barisan terkini Wings kini hanya terdiri daripada Datuk Awie (vokal), Syam (gitar utama) dan Edrie (gitar iringan).






