KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menolak dakwaan Naib Presiden Parti Warisan, Terrence Siambun, yang menuduh pemimpin parti itu terlibat dalam rasuah, sambil menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab, mengelirukan dan bermotif politik.
Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata kenyataan Terrence sengaja memutar fakta dan mengambil kata-kata beliau di luar konteks untuk mencipta naratif palsu demi keuntungan politik.
“Menegaskan sesuatu video itu tulen tidak bermaksud mengaku bersalah. Ketulenan dan kesalahan adalah dua perkara berbeza,” katanya dalam kenyataan.
“Kami tidak minta, dia yang beri dahulu”, telah disalah tafsir oleh pihak tertentu.
“Maksud saya jelas, tiada siapa dalam PBS yang meminta atau menuntut wang.
“Menggambarkan kenyataan itu sebagai pengakuan menerima rasuah adalah perbuatan tidak jujur dan berniat jahat,” tegasnya.
Menurut Dr Joachim, tidak ada sebarang bukti menunjukkan berlaku salah guna kuasa atau keuntungan peribadi oleh mana-mana wakil rakyat PBS.
“Sumbangan politik tidak menyalahi undang-undang selagi dibuat secara telus dan mengikut prosedur parti.
“Menyamakan setiap sumbangan dengan rasuah adalah satu kekeliruan besar,” katanya sambil menuduh Terrence sengaja menekan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mempengaruhi persepsi awam.
Sementara itu, Terrence dalam kenyataannya menegaskan bahawa pengakuan Joachim bahawa video tersebut “tulen” membuktikan rakaman itu benar-benar berlaku.
“Apabila Joachim sendiri berkata ‘kami tidak minta, dia yang beri dahulu’, itu pengakuan jelas bahawa wang telah diberikan dan diterima. Itu definisi rasuah,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan dakwaan kononnya wang tersebut adalah “derma politik” kepada parti.
“Jika benar ia derma, di mana rekodnya? Adakah dilaporkan kepada bendahari parti atau pihak berkuasa seperti yang disyaratkan undang-undang?” soal Terrence.
Terrence menegaskan rakyat Sabah sudah muak dengan alasan dan pemutaran isu.
“Cukup-cukuplah. Apa yang rakyat mahu bukan penafian atau kenyataan politik tetapi akauntabiliti sebenar dan tindakan tegas terhadap rasuah,” katanya.






