SHAH ALAM: Seramai 20 pelumba simulator terbaik negara bakal berentap hujung minggu ini, iaitu pada 10 dan 11 Oktober, dalam saingan Toyota GR Malaysia eRacing Championship Grand Finals bagi merebut sebahagian daripada hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM123,000 serta peluang mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.
Pertandingan yang berlangsung selama dua hari di Universiti Sunway itu menandakan edisi kelapan kejohanan sim racing terbesar di Malaysia yang dianjurkan oleh UMW Toyota Motor.
Sejak diperkenalkan, kejohanan ini menjadi platform utama melahirkan pelumba maya yang berjaya menembusi dunia perlumbaan sebenar melalui program pembangunan bakat Toyota GAZOO Racing (Young Talent Development Programme).
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K., berkata, pengenalan sistem kelayakan pelbagai platform tahun ini telah melahirkan pelumba yang lebih versatil, berdaya saing dan mampu menyesuaikan diri dalam pelbagai format perlumbaan maya.
“Pendekatan ini membuktikan komitmen Toyota terhadap pembangunan bakat secara holistik, bukan hanya dari segi kemahiran perlumbaan, tetapi juga ketahanan mental, kepimpinan dan disiplin,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Tahun ini, kejohanan yang dahulunya dikenali sebagai GT Cup Malaysia turut memperkenalkan penggunaan platform profesional seperti Assetto Corsa, RaceRoom, iRacing dan Gran Turismo 7, menjadikan persaingan lebih mencabar dan realistik.
Sebanyak 35 peratus peserta separuh akhir terdiri daripada wajah baharu, termasuk pelumba maya berpengalaman dari pelbagai komuniti perlumbaan digital di Malaysia.
Juara Grand Final bukan sahaja membawa pulang hadiah utama, malah akan mewakili Malaysia ke TGR Asia Esports GT Championship di Bangkok, November ini, menentang pelumba terbaik rantau ini dari Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura.
Malaysia bakal mempertahankan kejuaraan serantau selepas kejayaan bersejarah Taj Izrin Aiman pada 2024 yang membawa pulang gelaran juara Asia pertama negara.
Selain kejohanan utama, Toyota turut meneruskan Campus Tour di universiti awam dan swasta seluruh negara bagi memberi peluang kepada pelajar mencuba simulator profesional dan menyertai pertandingan peringkat kebangsaan.
Setakat ini, tiga pelumba daripada siri tersebut telah berjaya diserap ke dalam Young Talent Development Programme, membuktikan keberkesanan usaha Toyota melahirkan bakat muda tempatan.
Grand Final kali ini turut menjadi medan pelancaran pendaftaran bagi kemasukan 2026 ke program pembangunan bakat tersebut, terbuka kepada belia berusia 16 hingga 22 tahun dengan latar belakang sim racing atau karting.
Mereka yang terpilih akan menjalani latihan intensif bersama pakar dan berpeluang menyertai Rookie Class dalam Toyota GAZOO Racing Malaysia Vios Challenge musim depan.
Orang ramai dijemput hadir menyaksikan saingan secara langsung di Universiti Sunway atau menonton siaran langsung di platform media sosial rasmi Toyota GAZOO Racing Malaysia.
Peminat juga berpeluang mencuba simulator, membeli barangan rasmi Toyota, dan memenangi pengalaman eksklusif di Vios Challenge Finale di Litar Antarabangsa Sepang pada Januari 2026.
Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web rasmi Toyota GAZOO Racing Malaysia di www.toyota.com.my/en/tgrmalaysia.






