TENOM: Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, mengesahkan parti itu akan bertanding di kerusi DUN Melalap pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah.
Beliau menyeru semua ahli dan penyokong Kerajaan Perpaduan memberi sokongan padu kepada calon UPKO bagi memastikan kemenangan gabungan kerajaan.
“Wakil rakyat Melalap mesti datang daripada parti kerajaan supaya agenda pembangunan dapat diteruskan.
“UPKO mahu pemimpin tempatan yang memahami nadi rakyat,” katanya semasa Konvensyen UPKO Tenom 2025 di Dewan Seri Panglima Antanom.
Ewon yakin UPKO berpeluang cerah menang berdasarkan sejarah panjang parti di kawasan itu dan komitmen terhadap pembangunan Sabah.
Beliau turut menegaskan bahawa pemimpin Sabah di peringkat Persekutuan bukan “agen Malaya” tetapi “agen Sabah” yang memperjuangkan kepentingan negeri, sambil menekankan pelbagai inisiatif kementeriannya untuk membantu usahawan Sabah dan Sarawak.
“UPKO akan terus memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah dengan kepimpinan baharu yang berprestasi dan berdedikasi,” katanya.






