Madius Gesa SPR Elak Penamaan Calon, Pengundian Pada Hari Ibadah

Madius Gesa SPR Elak Penamaan Calon, Pengundian Pada Hari Ibadah

0
SHARE

TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar tidak menetapkan hari penamaan calon dan pengundian pada hari-hari ibadah iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi menghormati prinsip pertama Rukun Negara, Kepercayaan kepada Tuhan, serta memastikan penganut semua agama dapat beribadah tanpa gangguan.

“Hari Jumaat, Sabtu dan Ahad masing-masing hari ibadah bagi umat Islam, Seventh-Day Adventist, True Jesus Church serta penganut Kristian lain. Pilihan raya wajar diadakan antara Isnin hingga Khamis,” katanya.

Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO berkata, beberapa pilihan raya sebelum ini, termasuk PRU14 dan PRK Permatang Pauh, pernah diadakan pada hari bekerja tanpa sebarang masalah.

Sebaliknya, katanya, pelaksanaan PRU15 dan hari penamaan calon pada hari Sabtu telah menimbulkan kesulitan kepada penganut agama yang beribadah.

“Jika benar kita menjiwai Rukun Negara, setiap keputusan mesti mencerminkan nilai yang kita anuti termasuk menghormati hari ibadah semua agama,” tegasnya.