KOTA MARUDU: Herba tempatan mempunyai nilai tinggi bukan sahaja dari aspek kesihatan, malah berpotensi menjana ekonomi menerusi pasaran industri herba di peringkat antarabangsa.
Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Ekonomi Kota Marudu (PERKOM), Datuk Dr. Janathan Kandok berkata, tumbuhan seperti kunyit, hempedu bumi, tongkat ali dan kacip fatimah merupakan antara herba yang digunakan dalam amalan perubatan tradisional.

Menurutnya, herba wajar diibaratkan sebagai pelaburan emas kerana mempunyai kandungan antioksidan, sifat antikeradangan serta nutrien semula jadi yang menurut beliau mampu meningkatkan sistem imun badan.
“Melabur dalam kesihatan diri menerusi amalan pemakanan herba merupakan langkah pencegahan awal yang jauh lebih berharga daripada menanggung kos rawatan penyakit pada kemudian hari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis bersama pasukan pemasaran herba anjuran HPA International di Bian Republic, di sini.
Janathan berkata, Malaysia mempunyai potensi besar untuk meneroka pasaran perubatan pemakanan antarabangsa berikutan kepelbagaian biodiversiti negara, selain industri herba yang bernilai berbilion ringgit di peringkat dunia.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan usahawan dan peniaga herba di Kota Marudu meningkatkan mutu produk, memanfaatkan penyelidikan sains serta memperluaskan pasaran ke peringkat global.
Katanya, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor turut membantu usahawan herba menerusi inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam sektor pertanian serta pembangunan industri kecil dan sederhana.
Terdahulu, penyelaras majlis Jaburah Dagilon, Herbalist dan Anuar Abd Laib stokist HPA International berkata tubuh badan mempunyai sistem pertahanan secara fitrah tetapi sistem itu menjadi lemah apabila berlaku ketidakseimbangan angin dan suhu dalam badan yang berpunca daripada toksid yang terkumpul.
Herba katanya boleh membantu menyeimbangkan angin dan suhu dalam badan.






