KUALA LUMPUR: Penyanyi Ara Johari kembali dengan lagu berentak balada berjudul Kisah Yang Hampir Sempurna, sekali lagi mempertaruhkan konsep ‘galau’ yang menjadi pilihan dalam karya terdahulunya.
Lebih menarik, muzik video rasmi single terbaharu itu turut menampilkan pelakon popular Hun Haqeem sebagai watak utama lelaki, sekali gus menjadi antara tarikan dalam penghasilan karya berkenaan.
Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 29, berkata lagu hasil kolaborasi bersama komposer tempatan Aepul Roza dan Daus Drama Band itu mengisahkan percintaan yang berakhir dengan perpisahan tanpa membabitkan orang ketiga.
“Bukan semua perpisahan harus berakhir dengan pergaduhan atau orang ketiga. Ada perpisahan yang tidak memerlukan alasan kenapa mereka harus berpisah,” katanya dalam kenyataan media.
Menurut Ara, lagu berkenaan sudah diterimanya daripada Aepul sejak lebih setahun lalu, namun beliau memilih untuk menunggu masa sesuai sebelum melancarkannya.
Katanya, penghasilan lagu bersama komposer tempatan itu juga bagi memenuhi permintaan peminat yang mahu melihatnya berpeluang menyertai Anugerah Juara Lagu (AJL).
Sebelum ini, Ara tampil dengan lagu Menjaga Jodoh Orang Lain dan Terlalu Bodoh yang turut mengetengahkan tema percintaan serta kekecewaan.
Kisah Yang Hampir Sempurna merupakan hasil ciptaan Aepul dan Daus Drama Band, manakala lirik ditulis Aepul bersama Ara.
Single edaran Universal Music Malaysia itu sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital sejak 9 Oktober lalu.






