Kerajaan Persekutuan Digesa Pulihkan Projek Sakit di Sabah Dalam Tempoh 90 Hari

Kerajaan Persekutuan Digesa Pulihkan Projek Sakit di Sabah Dalam Tempoh 90 Hari

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa menyediakan pelan pemulihan bagi setiap projek pembangunan yang dikategorikan sebagai projek sakit di Sabah, dengan keputusan tindakan dibuat dalam tempoh 90 hari bagi mengelakkan kelewatan berterusan.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, kejayaan Belanjawan 2027 tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peruntukan diumumkan, sebaliknya melalui projek yang berjaya disiapkan dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Keberhasilan Belanjawan bukan diukur melalui wang diumumkan tetapi projek yang siap, berfungsi dan dinikmati rakyat,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Madius turut meminta kerajaan memperincikan jumlah projek pembangunan di Sabah, khususnya yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, termasuk status peruntukan dan perbelanjaan sebenar.

Beliau juga mahu penjelasan mengenai jumlah projek di Sabah yang termasuk dalam 33 projek sakit dilaporkan di peringkat nasional bagi mengenal pasti punca kelewatan pelaksanaannya.

Katanya, kerajaan perlu memastikan urusan tanah, reka bentuk, kelulusan dan utiliti diselesaikan sebelum projek dimulakan, selain mendedahkan kemajuan fizikal, perbelanjaan serta lanjutan masa (EOT) kepada umum.

Beliau turut mencadangkan semakan bebas terhadap EOT kedua yang berpunca daripada kelemahan kontraktor, termasuk pertimbangan penamatan kontrak mengikut undang-undang.

“Tuaran minta hentikan budaya projek diumumkan, projek tertangguh dan akhirnya menjadi projek sakit,” tegasnya.