Sembilan Bintang Hiburan Bakal Gegarkan Pentas Simfoni Seni Bintang Universe UTM

Sembilan Bintang Hiburan Bakal Gegarkan Pentas Simfoni Seni Bintang Universe UTM

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Sembilan nama popular industri hiburan tanah air bakal berkongsi pentas menerusi acara Simfoni Seni Bintang Universe UTM yang dijadual berlangsung di Grand Banquet Hall, UTM Hotel & Residence, Kuala Lumpur, pada 17 Oktober ini.

Acara yang berlangsung dari jam 8.45 malam hingga 11.30 malam itu bakal menampilkan Amir Ahnaf, Ara Johari, Ismail Izzani, Iskandar Ismail, Mohsein Kush, Nuha Bahrin, Syasya Rizal, Syamel dan Syed Iqbal.

Dianjurkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Universal Music Malaysia serta rakan label L.Y. Music Factory dan Faithful Music, acara berkenaan menggabungkan persembahan pentas, interaksi peminat dan apresiasi seni tempatan.

Menurut wakil penganjur, program itu bertujuan menghimpunkan peminat, pelajar, komuniti UTM dan orang awam dalam satu acara hiburan yang bermakna.

“Kami mahu penonton bukan sahaja datang untuk menyaksikan persembahan, tetapi pulang dengan pengalaman yang benar-benar bermakna,” katanya dalam kenyataan media.

Tiket ditawarkan pada harga RM100 bagi Tier 1 yang merangkumi sesi eksklusif Meet & Greet bersama artis selepas persembahan, manakala Tier 2 berharga RM60.

Penganjur turut menyediakan perkhidmatan lima bas percuma secara terhad kepada pelajar UTM Johor Bahru untuk menghadiri acara berkenaan di Kuala Lumpur.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket dengan mengimbas kod QR pada poster rasmi atau melalui platform jualan tiket yang disediakan penganjur.