RM18.7 Bilion Untuk Sabah: Madius Mahu Pecahan Peruntukan, Perbelanjaan Didedahkan

RM18.7 Bilion Untuk Sabah: Madius Mahu Pecahan Peruntukan, Perbelanjaan Didedahkan

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa memperincikan pecahan peruntukan RM18.7 bilion yang disebut dalam Belanjawan 2027 untuk Sabah, termasuk jumlah sebenar yang disalurkan dan dibelanjakan bagi memastikan peruntukan berkenaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, pengumuman jumlah keseluruhan peruntukan semata-mata tidak memadai untuk menunjukkan sama ada dana berkenaan benar-benar sampai kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan pecahan peruntukan berkenaan merangkumi perbelanjaan pembangunan dan mengurus, geran, pinjaman serta senarai projek mengikut kementerian.

Bagi peruntukan pembangunan Sabah tahun 2026, Madius turut meminta kerajaan memperincikan bilangan dan nilai projek bernilai RM50 juta dan ke bawah yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

Katanya, bagi projek yang bernilai melebihi RM50 juta pula, kerajaan perlu menyediakan senarai projek terbabit berserta nilai waran yang diterima dan jumlah perbelanjaan sebenar.

Madius turut membangkitkan persoalan mengenai 33 projek sakit di seluruh negara dengan meminta kerajaan menjelaskan jumlah projek berkenaan yang terletak di Sabah.

Beliau juga mahu penjelasan mengenai bilangan projek sakit yang dilaksanakan atau diselia JKR Sabah serta jumlah yang berada di bawah JKR Persekutuan.

Bagi mengelakkan kelewatan pelaksanaan projek pembangunan, beliau mencadangkan supaya semua urusan berkaitan tanah, reka bentuk, kelulusan dan utiliti diselesaikan sebelum kerja dimulakan.

Selain itu, katanya, kemajuan projek, perbelanjaan, tarikh siap serta setiap lanjutan masa perlu diumumkan bagi memastikan pelaksanaannya dapat dipantau.

Madius turut mencadangkan supaya setiap projek sakit mempunyai pelan pemulihan dalam tempoh 90 hari, manakala lanjutan masa kedua yang berpunca daripada kelemahan kontraktor perlu melalui semakan bebas.

Dalam masa sama, beliau menggesa supaya JKR Sabah diperkasakan sebagai agensi teknikal bagi pelaksanaan projek Persekutuan bernilai RM50 juta dan ke bawah.

“Pengumuman peruntukan bukan ukuran kejayaan. Kejayaan diukur melalui projek yang siap, berfungsi dan memberi manfaat,” katanya.