KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 potensi kerjasama strategik baharu berjaya dikenal pasti oleh tiga perusahaan sosial dari Sabah menerusi penyertaan dalam International Greentech & Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM) 2026 dan Kuala Lumpur Sustainability Summit (KLSS) 2026, baru-baru ini.
Penyertaan yang melibatkan Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) bersama Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) itu bertujuan memperluas peluang pasaran serta memperkukuh jaringan strategik perusahaan sosial tempatan.
Tiga perusahaan sosial terbabit ialah Rustic Borneo Global Trading Sdn Bhd, Kadazan Dusun Language & Cultural Centre (KDLC Dalai Heritage) dan Community Based Ecotourism Kuyungon (COBETK).
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, KPSTI dan SCENIC akan terus memperluas peluang kerjasama strategik bagi membantu perusahaan sosial tempatan mengembangkan produk serta inisiatif masing-masing ke pasaran lebih luas.
Beliau berkata, usaha berkenaan bukan sahaja bertujuan meningkatkan potensi ekonomi perusahaan sosial, malah memastikan manfaatnya dapat dinikmati komuniti setempat.
Menurutnya, antara manfaat yang diberi perhatian termasuk pemeliharaan warisan budaya, kelestarian alam sekitar serta pewujudan peluang pendapatan yang mampan.
Antara peluang kerjasama yang dikenal pasti menerusi penyertaan itu termasuk potensi kerjasama dengan United Nations Development Programme (UNDP), pemasaran kraftangan tradisional Dalai ke pasaran antarabangsa serta cadangan projek perintis penghasilan air mineral berasaskan sumber air tadahan Kampung Kuyungon.
Selain membuka peluang kerjasama baharu, penyertaan dalam kedua-dua platform berkenaan turut memberi pendedahan kepada perusahaan sosial Sabah mengenai perkembangan ekonomi hijau, pembiayaan lestari serta permintaan pasaran terhadap produk mesra alam.






