SANDAKAN: Kerajaan Sabah merancang menganjurkan program Hunt & Explore Media Race secara lebih besar pada tahun depan dengan memperluaskan penganjurannya ke daerah Kinabatangan, selain Sandakan, bagi mengetengahkan keunikan destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi dan hidupan liar di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin berkata, cadangan itu susulan kejayaan penganjuran Hunt & Explore Media Race 2026 yang mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta termasuk golongan pempengaruh dari seluruh Nusantara.
Beliau berkata, kerajaan negeri bersama Tourism Malaysia telah bersetuju untuk menganjurkan program berkenaan secara lebih besar pada tahun depan, dengan cadangan melibatkan kedua-dua daerah yang mempunyai tarikan pelancongan tersendiri.
“Alhamdulillah, saya amat berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai melalui program ini dan kita bersama Tourism Malaysia telah bersetuju untuk menganjurkannya secara lebih besar pada tahun hadapan.
“Saya juga telah berbincang dengan Timbalan Pengarah Tourism Malaysia supaya program tahun depan, kalau boleh, diadakan di dua daerah iaitu Sandakan dan Kinabatangan yang mempunyai tempat-tempat menarik, khususnya alam sekitar dan hidupan liar yang mampu menggamit pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Makan Malam Gala sempena VM2026 Hunt & Explore Media Race 2026 di sini, pada Sabtu lalu.
Jafry berkata, Sandakan dan Kinabatangan mempunyai kelebihan tersendiri sebagai destinasi pelancongan, khususnya Kinabatangan yang sememangnya terkenal dalam kalangan pengunjung dari Eropah.
Menurutnya, penganjuran program itu secara lebih meluas mampu membantu mengetengahkan kedua-dua daerah berkenaan sebagai antara destinasi pelancongan yang menarik dan unik di Sabah.
“Tujuan kita adalah untuk memastikan tempat-tempat di Sandakan dan Kinabatangan dapat ditonjolkan sebagai destinasi pelancongan yang menarik dan unik di negeri Sabah.
“Sudah pasti Sandakan mempunyai kelebihan di sini, demikian juga Kinabatangan yang terkenal dalam kalangan pengunjung dari Eropah,” katanya.
Mengulas penganjuran tahun ini, Jafry berkata, kira-kira 122 peserta dari seluruh Nusantara menyertai Hunt & Explore Media Race 2026 yang dianjurkan bersama Tourism Malaysia.
Katanya, program berkenaan turut melibatkan golongan pempengaruh dalam usaha mempromosikan pelbagai destinasi pelancongan menarik di daerah Sandakan.
Dalam perkembangan lain, Jafry berkata, persiapan penubuhan sekretariat Tahun Melawat Sabah 2027 kini berada pada fasa akhir.
Beliau berkata, pihaknya dijangka mengadakan perbincangan bersama kementerian dan agensi berkaitan menjelang penghujung bulan ini bagi memperincikan aktiviti yang akan dilaksanakan, termasuk program promosi pelancongan.
“Kami sedang dalam fasa akhir menyediakan sekretariat Tahun Melawat Sabah 2027 dan insya-Allah, mungkin pada penghujung bulan ini saya akan duduk bersama kementerian serta agensi terlibat untuk memperincikan aktiviti promosi,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri turut merancang mengadakan pelancaran Tahun Melawat Sabah 2027 pada penghujung tahun ini, selain mempertimbangkan satu lagi pelancaran secara lebih besar di Semenanjung Malaysia pada awal tahun depan.
Katanya, pelancaran di Semenanjung itu juga berkemungkinan diadakan bersempena satu acara penerimaan kapal perang yang sedang dirancang, namun perkara berkenaan masih tertakluk kepada perancangan lanjut.






