Klinik Kesihatan Kampung Desa Bukau Pindah Ke Bangunan Baharu

Klinik Kesihatan Kampung Desa Bukau Pindah Ke Bangunan Baharu

0
SHARE

BEAUFORT, SABAH – Klinik Kesihatan (KK) Kampung Desa Bukau kini beroperasi di bangunan baharu setelah dipindahkan kerana bangunan asal klinik tersebut tidak lagi sesuai digunakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Haji Ruslan Muharam menyerahkan kunci untuk bangunan baharu Klinik Kesihatan (KK) Kampung Desa Bukau, di sini, baru-baru ini.

Menurut Ruslan, bangunan yang pada asalnya merupakan balai raya itu telah dijadikan sebagai Klinik Kesihatan yang baharu kampung tersebut setelah Klinik Desa Bukau yang lama didapati tidak sesuai lagi bagi penduduk kampung sekitar mendapatkan rawatan.

“Ini adalah kerana bangunan lama Klinik Kesihatan Desa Bukau itu terletak di dalam kawasan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Highway…

“Sudah tentu ia tidak selamat ekoran kerja pembinaan jalan raya sedang berjalan ketika ini.

“Setelah dikaji oleh ketua kampung terbabit serta Jabatan Kesihatan, akhirnya mereka sepakat memindahkan Klinik Kesihatan Desa Bukau ke dalam kawasan Lumadan, di Kampung Lumadan,” kata Ruslan yang juga Pengerusi Perkasa Realty Sdn Bhd.

Kunci bangunan baharu Klinik Kesihatan Bukau itu diterima oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Daerah Beaufort, Dr. Natasha Abdul Rahman.

Ketua Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Datuk Matbali Musah dan para pemimpin setempat turut hadir di majlis penyerahan kunci itu.

Ruslan berharap agar penduduk sekitar akan lebih selesa dengan bangunan baharu klinik itu, yang boleh merawat semua peringkat usia pesakit 400 sehingga 500 orang sebulan termasuk kanak-kanak dan ibu mengandung.

“Tenaga perubatan yang digunakan juga adalah yang sedia ada,” katanya, sambil menambah, sejumlah RM80,000 telah diperuntukkan khas untuk klinik itu.

Terdahulu, Ruslan telah mengadakan lawatan kerja bersama dengan Penolong Pegawai Daerah (ADO) dan Pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Beaufort, Kamalin Hj Sundram dan Pg Ismail Pg Othman bagi meninjau projek mendalamkan dan memulihara sungai Teluk Bubus dan muara Sungai Malalamin sedalam 400 meter.