KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 35 saman dikeluarkan dan sembilan (9) kenderaan disita kerana pelbagai kesalahan dalam Op Samseng Jalanan di kawasan Aeropod, Jalan Kepayan, di sini, malam tadi.
Dalam operasi selama enam jam bermula 10 malam itu, sejumlah 86 kenderaan dan 106 individu diperiksa.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji yang dipetik Harian Metro berkata, operasi hasil kerjasama Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
“Semua kenderaan disita ditahan atas pelbagai kesalahan seperti kesalahan pengubahsuaian kenderaan atau nombor plat yang tidak mengikut peraturan…
“Selain itu, terdapat juga kesalahan pengubahsuaian ekzos yang dilakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, semua kenderaan ini akan dihantar untuk pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah dalam masa yang terdekat.
Katanya, usaha penguatkuasaan ini akan dijalankan secara berterusan bagi mencegah kegiatan samseng jalanan di sekitar daerah ini.