Penularan COVID-19 Punca Ekonomi Singapura Menguncup 5.8%

Penularan COVID-19 Punca Ekonomi Singapura Menguncup 5.8%

0
SHARE

SINGAPURA – Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Singapura dalam satu ramalan awal memaklumkan penularan wabak COVID-19 akan menyebabkan ekonomi di negara itu menguncup 5.8 peratus (5.8%) pada 2020 meskipun kebanyakan industri menyaksikan peningkatan pada suku keempat tahun lalu.

Ekonomi Singapura menyusut 3.8 peratus (3.8%) pada suku terakhir tahun lalu berbanding tempoh sama sebelumnya, satu peningkatan berbanding penguncupan 5.6 peratus (5.6%) pada suku ketiga tahun lalu.

Sebelum ini, pakar ekonomi meramalkan ekonomi Singapura akan merosot sebanyak 4.5 peratus (4.5%).

Berdasarkan perbandingan suku ke suku, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura berkembang sebanyak 2.1 peratus pada suku terakhir 2020 selepas mencatat pertumbuhan 9.5 peratus bagi tempoh antara Julai dengan September tahun lalu.

Singapura terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, dengan sektor binaan, penerbangan dan pelancongan antara yang paling terkesan.

Ia menguatkuasakan ‘circuit breaker’ atau tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 pada April bagi membendung penularan COVID-19, yang antara lain turut menyaksikan perniagaan yang tidak penting turut ditutup sepanjang tempoh itu.

Kerajaan Singapura menarik balik penguatkuasaan tempoh terbabit pada bulan Jun dan sejak itu membuka semula ekonomi negara secara berperingkat dan ia kini melangkah ke Fasa 3.

Meskipun kerajaan sebelum ini menjangkakan ekonomi negara akan kembali berkembang tahun ini tetapi memberi amaran bahawa pemulihan ekonomi mungkin berlaku secara berperingkat.