KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Barisan Usahawan Sepanggar (BUS) berjaya didaftarkan dan mendapat sijilnya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 30 Ogos 2022 baru-baru ini.
BUS sebuah persatuan yang dianggotai oleh usahawan-usahawan sedia ada dan bakal usahawan industri kecil dan sederhana (IKS), khususnya di kawasan Parlimen Sepanggar.
BUS dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan pada 31 Mac 2022.
Satu majlis ringkas penyerahan sijil oleh Setiausaha BUS, Walter Francis Kimong kepada Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif BUS, Romeo Ansow diadakan di pejabatnya di KSTI, di sini, hari ini.
BUS akan ditadbir urus sepenuhnya oleh unit pengurusan yang professional dan inovatif dengan matlamat usahawan-usahawan di P.171 Sepanggar bakal mendapat bimbingan latihan dan akses kepada maklumat mengenai apa jua bantuan daripada pihak kerajaan agar mereka berjaya untuk maju dan berkembang sehingga ke peringkat global.
Dalam pertemuan itu juga, taklimat ringkas Pelan Perniagaan 5 Tahun BUS telah dibentang kepada Romeo oleh Walter untuk dibawa ke peringkat jemaah menteri.
BUS memfokuskan semua lapisan usahawan terutamanya usahawan muda, produk/perkhidmatan inovatif, digital dan kesenian, yang mana ianya selari dengan matlamat Kerajaan Negeri Sabah untuk melihat satu transformasi ekonomi kepada semua sektor perniagaan ketahap yang lebih maju dalam era digital.
Pelan ini juga bakal menjadi wadah reformasi bagi golongan muda yang merangkumi 4 bidang penting kepada mereka, iaitu ekonomi, pekerjaan, pendidikan dan perumahan (Program E3P).
Turut hadir di majlis tersebut adalah Prof. Dr. Jidon @ Adrian Janaun, Pengarah Innovation And Commercialisation Management Centre, Universiti Malaysia Sabah untuk memberikan beberapa buah fikiran dan input di dalam halatuju BUS.
Delegasi Ahli Majlis Teringgi BUS pula diketuai oleh Abdul Karim Abdul Rashid (Timbalan Pengerusi), Mohd. Rona Abd. Kasim (Bendahari), Ayunah Majabin, Rosimah Dusaman dan Oliver Oscar Jimi.
Beberapa projek perintis di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N16 Karambunai dan P171 Sepanggar akan dimulakan pada tahun ini juga…
Romeo optimis kejayaan BUS ini kelak akan menjadi bukti komitmen kerajaan bersama-sama ahli-ahli persatuan untuk berjaya di dalam ekonomi dan bersama-sama dengan pihak kerajaan dalam menyumbang kepada kemajuan negeri Sabah untuk generasi seterusnya.