Kerjasama Erat KKD, Kerajaan Negeri Bakal Selesaikan Isu Telekomunikasi

Kerjasama Erat KKD, Kerajaan Negeri Bakal Selesaikan Isu Telekomunikasi

0
SHARE
Fahmi
Pertemuan Hajiji (kiri) dengan Fahmi di Menara Kinabalu ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerjasama erat Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan kerajaan negeri bakal menyelesaikan isu pengurusan projek telekomunikasi di Sabah.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata ke arah merealisasikan komitmen tersebut, pihaknya telahpun mengadakan perjumpaan dengan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ahli parlimen yang bertujuan untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang bermasalah dengan lebih pantas.

Bercakap kepada media di Menara Kinabalu selepas membuat kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Fahmi memaklumkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti penyelesaian mengenai masalah internet di pulau-pulau sekitar Sabah.

“Dalam pertemuan itu, saya telah menyampaikan sedikit taklimat kepada Ketua Menteri mengenai status pelaksanaan bagi beberapa projek di bawah KKD termasuk projek jendela yang diuruskan oleh pihak MCMC serta projek Point of Presence (PoP) yang diuruskan oleh KKD sendiri.

“Kita sempat berbincang tentang langkah-langkah yang boleh dan akan diambil oleh KKD untuk segera menyelesaikan masalah internet yang berlaku di Sabah.

“Saya juga telah memaklumkan, KKD dan MCMC sedang meneliti penyelesaian mengenai masalah internet di pulau-pulau sekitar Sabah, mungkin sebagai contoh menggunakan peranti starlink serta penyelesaian lain yang sedang kita rangka untuk menyelesaikan masalah internet yang berlaku,” ujarnya di sini, pada Isnin.

Tambah Fahmi, perbincangan juga diadakan bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Exco Komunikasi dan Digital Sabah sebagai tanda komitmen KKD untuk membantu kerajaan negeri menyelesaikan masalah internet di Sabah.

“Jadi, saya berharap dengan hubungan yang lebih erat, dengan kerjasama yang lebih jitu, masalah dapat dikenal pasti segera dan bersama-sama kita selesaikan,” dedah beliau.

Sementara itu, Hajiji dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memastikan Rancangan Rangkaian Digital Nasional (JENDELA) dilaksanakan dengan lancar di Sabah.

“Arahan saya jelas. Semua PBT dan pejabat daerah mesti memudahkan supaya projek di bawah JENDELA di negeri ini dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.

Turut mengiringi Ahmad Fahmi ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Mohd Sukari Ab Hamid dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din. — JABATAN PENERANGAN SABAH

SHARE
Previous articleKKD Satu DUN Satu PEDi- Fahmi
Next articleMasalah Internet di Sabah Keutamaan KKD
Sabah News adalah sebuah medium berita yang menarik yang adil dan kontroversi yang hanya memaparkan berita sebenar dan tular serta bagi tontonan umum.