KKD Satu DUN Satu PEDi- Fahmi

KKD Satu DUN Satu PEDi- Fahmi

0
SHARE
Fahmi
Fahmi (depan, tengah) bergambar bersama hadirin yang datang ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

RANAU, SABAH – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menyasarkan untuk menyediakan sekurang-kurangnya satu Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, setakat ini, sejumlah 118 PEDi telah dibangunkan dan kesemuanya telah beroperasi dengan jayanya, manakala 14 lagi PEDi baharu akan didirikan dalam masa terdekat.

“PEDi merupakan platform memperkasa aktiviti masyarakat setempat khususnya di luar bandar untuk membangunkan kemahiran, melalui kemudahan Internet yang disediakan masyarakat mampu menceburi bidang perniagaan secara dalam talian menerusi platform e-dagang sekaligus meningkatkan sumber pendapatan.

“Selain ekonomi, inisiatif itu juga sejajar usaha kerajaan memperkasa masyarakat melalui transformasi digital seiring aspirasi Malaysia MADANI untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang maju, terampil dan terangkum,” katanya ketika berucap merasmikan Program Hari Bersama Komuniti PEDi di Kampung Lohan pada Ahad.

Beliau turut memaklumkan, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang merangkumi dua fasa juga telah dibangunkan untuk meningkatkan kesalinghubungan dan perkhidmatan internet berkualiti untuk manfaat rakyat bagi tujuan pendidikan, kesihatan serta ekonomi.

“Di Sabah, JENDELA Fasa 1 telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan yang mana daripada 631 menara komunikasi baharu dirancang untuk didirikan, 186 telah siap, manakala 445 lagi masih dalam pelaksanaan.

“Bagi kerja-kerja naik taraf stesen pemancar kepada rangkaian 4G, sebanyak 4,229 telah siap dinaik taraf, sementara hanya 52 lagi stesen masih dalam pelaksanaan,

Jelas Fahmi, Projek Point of Presence (PoP) menggunakan teknologi gentian optik bagi liputan berhampiran kawasan sekolah dan kawasan industri Fasa 1 merangkumi 67 kawasan hampir berjaya disiapkan.

“KKD juga menyediakan akses terbuka rangkaian jalur lebar talian tetap menggunakan teknologi gentian optik berhampiran kawasan sekolah dan kawasan industri melalui PoP.

“Sebanyak 60 daripada 67 kawasan PoP yang dirancang di Sabah dalam Projek PoP Fasa 1 berjaya disiapkan manakala pelaksanaan Projek PoP Fasa 2 akan bermula dalam masa terdekat melibatkan 636 kawasan.

“Bagi pelaksanaan rangkaian 5G di Sabah pula, setakat 30 September 2023, peratusan liputan 5G di kawasan berpenduduk adalah 48 peratus, manakala sejumlah 401 daripada 622 tapak 5G yang dirancang telah berjaya disiapkan yang akan mempercepatkan akses carian sekaligus memperluas dan memperkasakan sistem ekonomi digital negeri ini,” ujarnya.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Paginatan, Datuk Abidin Madingkir, Ketua Setiausaha KKD, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Bahagian Transformasi dan Koordinasi Negeri Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC), Bukhari Yahya dan Penolong Pegawai Daerah Ranau, Farihah Mohd Jamian. — JABATAN PENERANGAN SABAH