PM India Terima Suntikan Vaksin COVID-19 Buatan Tempatan

PM India Terima Suntikan Vaksin COVID-19 Buatan Tempatan

0
SHARE
Perdana Menteri India, Narendra Modi menerima vaksin buatan tempatan di sebuah hospital kerajaan di New Delhi hari ini... (Sumber Foto; Twitter milik Narendra Modi)

NEW DELHI, INDIA – Perdana Menteri India, Narendra Modi menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 keluaran negara itu, hari ini.

Modi berkongsi di Twitternya gambar beliau menerima suntikan vaksin di sebuah hospital kerajaan, di sini.

Memetik laporan BH Online, program imunisasi di negara itu bermula pertengahan Januari lalu membabitkan pekerja penjagaan kesihatan.

“Ia amat luar biasa bagaimana doktor dan saintis kami bekerja dalam waktu singkat untuk sama-sama berjuang memerangi COVID-19…

“Saya merayu kepada semua individu yang memenuhi syarat untuk mengambil vaksin ini. Bersama-sama, mari kita jadikan India bebas COVID-19,” kata Modi di Twitter miliknya.

Individu berusia 60 tahun ke atas selain mereka yang berusia 45 tahun ke atas dengan menghadapi masalah kesihatan kini boleh mendapatkan vaksin berkenaan.

India yang merekodkan kes COVID-19 tertinggi selepas Amerika Syarikat (AS), sehingga kini sudah memberikan vaksin kepada lebih 12 juta barisan hadapan dan pekerja kesihatan.

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan bahawa orang ramai boleh memilih pusat vaksin sama ada ingin mengambil vaksin tempatan, Covaxin atau AstraZeneca.

Kempen imunisasi bergerak lebih perlahan daripada jangkaan susulan keengganan pekerja kesihatan mengambil Covaxin yang diluluskan tanpa data keberkesanan tahap akhir.

Hanya sekitar 11 peratus individu yang diberi vaksin memilih produk yang dibangunkan oleh Bharat Biotech dan Majlis Penyelidikan Perubatan India yang dikendalikan oleh kerajaan.

Bharat Biotech memberi jaminan akan segera mengeluarkan data keberkesanan dari percubaan peringkat akhir terhadap hampir 26,000 sukarelawan yang mengambil Covaxin sebelum ini.

Berdasarkan kajian awal dan di peringkat pertengahan, syarikat itu bersama dengan pengawal selia ubat-ubatan India mengatakan Covaxin selamat dan berkesan.

Sehingga kini, India melaporkan lebih 11 juta jangkitan COVID-19 dengan lebih 157,000 kematian.