SANDAKAN, SABAH – Pemandu sebuah lori perabot maut apabila kenderaan terbabit hilang kawalan lalu terbalik dalam kemalangan di Jalan Labuk, Batu 17, sini, dalam jam 10 pagi tadi.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, mangsa lelaki berusia 20an tersepit dalam lori 3 tan terbabit namun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan anggota.
Katanya, seramai 10 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan bergegas ke lokasi berjarak kira-kira 25 kilometer daripada balai.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Menurut saksi, mangsa dipercayai dihempap barang perabot semasa kerja-kerja memindahkan barang perabot dari lori yang terbalik,” katanya.
Operasi kemudian ditamatkan pada jam 10.56 pagi setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi.