TAHNIAH!! PENDUDUK KENINGAU HAMPIRI IMUNITI KELOMPOK, 100% PENDUDUK BERDAFTAR DENGAN MYSEJAHTERA LENGKAP...

TAHNIAH!! PENDUDUK KENINGAU HAMPIRI IMUNITI KELOMPOK, 100% PENDUDUK BERDAFTAR DENGAN MYSEJAHTERA LENGKAP TERIMA VAKSIN

0
SHARE
Pemandangan sekitar pekan Daerah Keningau...

KENINGAU, SABAH – Daerah Keningau hampiri imuniti kelompok (herd immunity) apabila semua penduduk daerah ini yang berdaftar dengan MySejahtera telah lengkap divaksin, demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Keningau, Walter Kenson.

Menurutnya, dengan itu hanya tinggal 38 peratus (38%) sahaja lagi penduduk Keningau yang perlu divaksin.

“Pada 31 Ogos, CITF Keningau mengambil pendekatan dengan mengadakan program vaksinasi secara ‘walk-in’ yang menyasarkan baki penduduk secara mingguan…

“Tiada had kehadiran pada kali ini di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Keningau yang bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang,” katanya kepada BorneoDigest.

Walter Kenson…

Katanya lagi, pencapaian internet yang tidak menyeluruh di daerah tersebut antara faktor penduduk gagal medaftarkan diri menggunakan aplikasi MySejahtera.

Tambahan kepada itu adalah tiada pengetahuan teknologi maklumat (IT) khususnya pada golongan 50 tahun ke atas.

“Pencapaian internet hanya merangkumi 60 peratus daerah dan tidak cukup menampung keperluan pengguna sepenuhnya…

“Bagi melangsaikan 38 peratus yang tinggal ini, kami menggesa penduduk berkempen menasihati rakan sekeluarga agar divaksin dengan kaedah bertutur atau media sosial.

“Setiap orang berhak menanya jika orang lain sudah divaksin atau belum. Dan jika belum, beritahu mereka di mana PPV tedekat serta talian aduan 013-311613,” katanya.

PPV Keningau disediakan di Dewan Kompleks Sukan Keningau, Dewan Masyarakat Bingkor, Dewan Masyarakat Sook selain program jangkauan kepada 12 mukim di sini.

Walter berkata seramai 98,828 daripada 219,100 penduduk meliputi 248 buah kampung di daerah tersebut telah pun berdaftar dengan MySejahtera.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Keningau menjelaskan kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak 14,000 dos vaksin seminggu kepada daerah itu agar sasaran imuniti kelompok dapat dicapai dengan secepat mungkin.

“Saya yakin bahawa Keningau sudah mencatat rekod tersendiri dan sedang menghampiri garisan penamat sasaran negeri Sabah…

“Kerajaan telah menyediakan peluang yang sangat baik secara percuma. Amatlah merugikan jika penduduk tidak mengambilnya (vaksin),” katanya.