Mayat Anggota Tentera Malaysia Ditemui 70 Kilometer Dari Lokasi Latihan 

Mayat Anggota Tentera Malaysia Ditemui 70 Kilometer Dari Lokasi Latihan 

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

BERA, PAHANG – Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan penemuan jasad anggota TDM daripada 10 Briged Para, iaitu Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin bin Mohamad Isa, dalam keadaan lemas.

Mangsa yang merupakan anggota Tinjau dari pasukan Kompeni PANDURA (Para) merupakan dari 1,894 anggota lain yang menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang bagi Eksesais PARA PREDATOR Siri 1/2021 selama dua (2) minggu di Kawasan Am, Bera, Pahang.

Mengikut kenyataan oleh Sel Perhubungan Raya Markas TDM, semasa kejadian, anggota sedang melaksanakan Fasa Latihan Taktikal Menyeberangi Sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor pada 29 Ogos (Ahad) lalu pada jam 4.40 petang.

Operasi Mencari dan Menyelamat dilangsungkan 10 minit selepas menyedari kehilangan arwah.

“TDM menerima maklumat penemuan pada jam 8.15 pagi hari ini di mana jasad beliau telah ditemui oleh penduduk kampung di kawasan Kampung Serengkam, Maran, Pahang, kira-kira 70 kilometer dari lokasi kejadian,” katanya.

Dalam pada itu TDM turut menzahirkan ucapan takziah buat isteri mendiang iaitu Puan Nor Aqila Syafiqa binti Safuan serta seluruh ahli keluarganya.

“TDM akan menghulurkan bantuan sewajarnya dari segala aspek dalam memastikan kebajikan keluarga tersebut…

“Perkembangan berkenaan pengurusan jenazah Allahyarham akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

TDM turut berharap agar masyarakat tidak menyebarkan gambar-gambar penemuan jasad bagi menjaga perasaan waris mangsa yang terlibat,” katanya.