Tarikh Pembukaan Sempadan Negara Akan Diumum PM Dalam Masa Terdekat

Tarikh Pembukaan Sempadan Negara Akan Diumum PM Dalam Masa Terdekat

0
SHARE
Gambar Hiasan...

PETALING JAYA, SELANGOR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan tarikh bagi pembukaan sempadan negara dalam masa terdekat.

Menurut laporan Kosmo!, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, satu keputusan secara prinsip telah dicapai iaitu pembukaan semula sempadan negara merupakan satu keperluan.

“Ia bersandarkan kepada tiga perkara asas iaitu memberi keselesaan kepada pengembara dan tidak merumitkan perjalanan mereka, berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19 serta membandingkan keperluan pembukaan sempadan dengan negara-negara lain.

“Mengambil kira keputusan prinsip berkenaan, Kementerian dan agensi berkaitan sedang memperincikan protokol termasuk pra pelepasan dan ketibaan ke dalam negara. Sebaik sahaja protokol tersebut dimuktamadkan dan kebenaran diberikan, rakyat Malaysia boleh pergi ke negara yang turut telah membuka sempadannya,” katanya dalam sidang akhbar dalam talian semalam.

Mengulas lanjut, terdapat satu lagi kaedah untuk rakyat pergi ke luar negara iaitu menerusi skim Vaccinated Travel Lane (VTL).

“Skim ini membolehkan pergerakan keluar dan masuk antara Malaysia dengan negara yang masih menutup pintu sempadannya…

“Buat masa ini skim VTL telah dimanfaatkan antara Malaysia-Singapura. Perdana Menteri juga telah umum skim VTL antara Malaysia-Thailand dan Malaysia-Brunei bakal dilaksanakan dalam masa terdekat,” jelasnya.

Tambahnya, dalam masa sama, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pengangkutan juga sedang meneliti negara-negara yang berpotensi untuk dimasukkan dalam senarai skim VTL dari masa ke masa.