LONDON – Haiwan peliharaan seperti kucing terutamanya menjadi pilihan buat individu atau keluarga sebagai peneman mereka untuk bermain, bermanja dan ada kalanya untuk menghilangkan tekanan tekanan (stres).
Tetapi fakta mengejutkan apabila baru-baru ini, pakar-pakar haiwan mendapati kucing pula berasa tertekan dan resah terhadap tuannya kerana berada di rumah sepanjang hari ini terutamanya ketika wabak COVID-19 ini.
Portal berita Mirror UK melaporkan perkaran itu disebabkan haiwan comel itu mempunyai sifat gemar bersendirian dan tabiatnya itu terganggu kerana wabak COVID-19 ini menyebabkan semua orang akan menghabiskan masa seharian di rumah untuk tempoh yang agak panjang.
Kajian itu turut mendedahkan semakin banyak haiwan peliharaan itu dibawa ke klinik haiwan disebabkan oleh masalah mental.
Sementara itu, Pusat kebajikan haiwan Cats Protection memaklumkan banyak haiwan yang berdepan kesukaran untuk tinggal bersama tuannya pada waktu siang ketika musim pandemik ini.
“Perubahan kepada rutin harian kucing berpotensi menyebabkan haiwan itu tertekan kerana kucing merupakan makhluk yang suka membuat tabiat sama…
“Selain itu, kawasan senyap dan selamat yang digunakan kucing di dalam rumah mungkin telah diubah menjadi ruang pejabat, menjadikan ia tidak lagi mempunyai ruang bersendirian,” kata jurucakap pusat kebajikan itu.
Tambahnya lagi, sekiranya kucing peliharaan sensitif dengan bunyi bising, jumlah manusia yang ramai di dalam rumah akan meningkatkan lagi tekanan terhadap haiwan itu.

“Tanda-tanda kucing yang tertekan termasuk mengiau secara berlebihan, kerap menjilat badannya, kerap mencakar, kencing di kawasan yang tidak sepatutnya dan kerap bersembunyi,” kata Daniella Dos Santos yang merupakan Timbalan Presiden Kanan Cats Protection.