SINGAPURA – Negara Kota Singa semalam mengumumkan telah berjaya mencapai imuniti kelompok (herd ummunity) kebangsaan apabila 80 peratus (80%) daripada keseluruhan penduduknya kira-kira hampir 5.9 juta orang telah melengkapkan suntikan vaksinasi COVID-19.
Memetik satu hantaran Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, pada laman media sosial Facebook miliknya, beliau berkata pencapaian Singapura itu sebagai pencapaian terbaik dan satu kejayaan besar buat mereka dalam menangani penularan jangkitan virus berkenaan.
“Kejayaan ini bermakna Singapura sudah melangkah setapak lagi ke hadapan dalam memastikan penduduk kita dilindungi daripada COVID-19…
“Ini adalah hasil usaha pelbagai pihak terutama petugas barisan hadapan dan penduduk Singapura sendiri yang tampil menerima vaksin demi melindungi diri dan orang sekeliling mereka,” katanya.

Menurut Ye Kung lagi, kejayaan mencapai imuniti kelompok itu turut dibantu oleh program suntikan vaksin dari rumah ke rumah yang mana seramai 4,300 warga Singapura telah mendapatkan dua dos suntikan mereka.
Kementerian menyasarkan untuk menyelesaikan semua baki penerimaan suntikan vaksin di rumah menjelang akhir September ini.
“Setiap minggu, kami terus menerima sekitar 700 permintaan untuk menjalankan suntikan vaksinasi di rumah…
“Bagi memenuhi permintaan ini, lebih 200 doktor dan jururawat sukarela dengan bantuan Pasukan Tentera Singapura (SAF) disediakan, membolehkan kami berjaya menggandakan jumlah pasukan vaksinasi rumah ke rumah daripada 11 kepada 33.
“Ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan kerana hasil kerja keras mereka, kami dapat mengurangkan separuh masa menunggu untuk suntikan vaksin daripada lapan minggu kepada empat minggu saja,” katanya lagi.