Empat Hari Hilang di Hutan Kalabakan, Khairul Masih Belum Ditemui

Empat Hari Hilang di Hutan Kalabakan, Khairul Masih Belum Ditemui

0
SHARE

KALABAKAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak empat hari lalu selepas keluar memancing dan mencari hasil hutan di kawasan Batu 32, Jalan Kalabakan–Maliau Basin masih belum ditemui setakat petang Ahad.

Mangsa dikenali sebagai Khairul Saharin, 31, warganegara Malaysia berketurunan Tidung, dilaporkan hilang pada 14 Oktober ketika keluar bersama sepupunya sebelum mereka berpisah semasa perjalanan pulang ke tapak perkemahan.

Sepupunya kemudian membuat laporan polis pada 15 Oktober selepas gagal menghubungi mangsa, dipercayai akibat bateri telefon mangsa yang habis.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keempat hari itu diteruskan dengan kekuatan 22 anggota terdiri daripada BBP Tawau, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan, PDRM, APM, Ranger Komuniti dan RELA. Operasi diketuai oleh PBK II (KUP) Khalik Ali dari BBP Tawau.

Pasukan penyelamat memulakan pencarian dari kawasan starting point di Batu 35 dengan dua kumpulan pencari.

Kumpulan B menelusuri kawasan berbukit sejauh 3.1 kilometer hingga ke puncak namun masih belum menemui sebarang petunjuk.

Operasi ditangguhkan pada jam 4 petang berikutan faktor cuaca dan akan disambung semula hari ini.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan mangsa diminta menghubungi Ketua Balai BBP Tawau, TPgB Jemishin Ujin di talian 013-5480760.