Kanak-Kanak Boleh Tingkatkan Keupayaan Membaca Melalui Permainan Video Aksi – Kajian

Kanak-Kanak Boleh Tingkatkan Keupayaan Membaca Melalui Permainan Video Aksi – Kajian

0
SHARE
Kawalan perhatian oleh kanak-kanak yang bermain permainan video aksi boleh meningkat tujuh kali ganda.

ROM, ITALI – Bermain permainan video aksi sekurang-kurangnya dua jam seminggu mampu meningkatkan keupayaan membaca di kalangan kanak-kanak, dedah satu kajian.

Memetik laporan Wion News, dapatan kajian yang dijalankan oleh pasukan penyelidikan Itali dan Switzerland adalah hasil penyelidikan antara 150 orang pelajar berumur lapan hingga 12 tahun di Itali.

Satu kumpulan disuruh bermain permainan video aksi yang dicipta sendiri oleh para penyelidik, manakala kumpulan lain disuruh bermain permainan video yang direka untuk mengajar mereka membuat kod.

Kanak-kanak terlibat perlu bermain selama kira-kira dua jam seminggu sambil diawasi para penyelidik selama enam minggu di sekolah.

Hasil penyelidikan mendapati kanak-kanak yang bermain permainan video aksi menunjukkan peningkatan dalam kelajuan dan ketepatan membaca serta perhatian kepada bahan bacaan. 

“Kami mendapati peningkatan tujuh kali ganda dalam kawalan perhatian oleh kanak-kanak yang bermain permainan video aksi berbanding kumpulan lain,” jelas pengarang pertama kajian, Angela Pasqualotto.

Pasqualotto merupakan pelajar ijazah kedoktoran (PhD) di Jabatan Psikologi dan Sains Kognitif, Universiti Trento di Itali.