KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Pertanian dan Perikanan (MAF) akan merayu kepada Kementerian Kewangan (MoF) untuk meminta Cukai Jualan Negeri (SST) yang dikenakan ke atas eksport komoditi perikanan dari Sabah ditangguhkan buat sekali lagi.
Menterinya, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, beliau bersimpati dengan pemain industri sambil menyatakan bahawa situasi COVID-19 tidak berubah sejak Ogos tahun lepas.
“Saya tidak berubah pendirian dalam isu ini. Malangnya, topik cukai bukan di bawah kementerian saya tetapi terletak di bawah Kementerian Kewangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata SST digantung dari Mei sehingga Disember tahun lepas dan industri perikanan tidak sepatutnya diminta membayar cukai jualan.
“Isu penangguhan cukai sehingga keadaan ekonomi bertambah baik telah dibincangkan dengan panjang lebar dengan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan tahun lalu…
“Kedua-dua kementerian bersetuju dan memutuskan langkah yang terbaik pada masa itu adalah untuk menangguhkan pelaksanaan SST ke atas eksport komoditi perikanan.
“Memandangkan ekonomi masih belum pulih sepenuhnya, saya akan cuba sekali lagi untuk memujuk Kementerian Kewangan untuk mempertimbangkan semula penangguhan cukai itu,” katanya.





