Lee Zii Jia Tinggalkan BAM

Lee Zii Jia Tinggalkan BAM

0
SHARE
Lee Zii Jia...

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, dilaporkan sah meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak secara profesional.

Perkara itu disahkan oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria di mana Lee Zii Jia, 23, telah menghantar surat pada 11 Januari lalu untuk meninggalkan skuad kebangsaan.

“Benar, kita telah terima surat peletakan jawatan Zii Jia dan dia telah hadir bersama kakaknya. Kita cuba memujuknya agar kekal bersama BAM, memandangkan kita telah didik dia sejak usianya 13 tahun…

“Selepas kita latih dan bentuk dia sehingga ke peringkat ini, kita terpaksa berdepan hakikat bakal kehilangan Zii Jia,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Negara ke temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing China yang disaksikan oleh Duta China ke Malaysia, Ouyang YuJing di sini, hari ini.

Menurut Norza, Zii Jia memberikan alasan yang dia tidak lagi mampu untuk bersama skuad kebangsaan kerana gagal melihat dirinya sebagai pengganti kepada bekas pemain No. 1 dunia negara, Datuk Lee Chong Wei.

“Dia baru saja memenangi satu gelaran Seluruh England (2020) dan seharusnya dia kekal fokus dan kekal bersama BAM. Namun, dia mengatakan yang dirinya bukan Chong Wei dan tidak boleh tahan tekanan…

Lee Zii Jia…

“Dia mahu mencapai apa yang dia inginkan dengan cara dia sendiri. Kita hormati pandangan semua orang, namun kita ada sebuah institusi dan sebab itu saya memanggil mesyuarat Ahli Majlis BAM pada 17 Januari untuk mendengar permasalahan yang kita hadapi ini kerana dia adalah aset utama kita.

“Sudah tentu kita tidak mahu lihat masa depan dia tidak dipersia-siakan. Selepas kita mendengar penjelasan semua pihak, majlis sudah berbincang dan mengeluarkan satu keputusan,” jelas beliau.

Difahamkan, BAM akan membuat pengumuman rasmi berhubung perkara itu pada Jumaat ini menerusi jawatankuasa yang dipengerusikan Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.