TANJUNG MALIM: Program pengajian Bahasa Kadazandusun (BKD) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mencatat kejayaan apabila berjaya melahirkan seramai 431 graduan sejak diperkenalkan pada 2010, sekali gus membuka laluan kepada peluasan pengajian bahasa etnik Sabah yang lain.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan usaha memartabatkan bahasa etnik melalui sistem pendidikan tinggi.
“Saya juga mengalu-alukan kesediaan UPSI untuk memperluaskan pengajian ini kepada Bahasa Etnik Sabah mencakupi beberapa etnik seperti Kadazan, Tatana, Murut, Lotud dan Sama,” katanya selepas mengadakan kunjungan ke UPSI dan menerima taklimat mengenai perkembangan program berkenaan pada Sabtu.
Menurut beliau, kerjasama strategik antara UPSI dan Yayasan Bank Rakyat turut menjadi pemangkin utama kejayaan program tersebut, khususnya dalam aspek pembiayaan pelajar.
“Saya juga berbangga kerana kerjasama di antara UPSI dan Yayasan Bank Rakyat masih dilaksanakan bagi pembiayaan pelajar dalam pengajian Bahasa Etnik Sabah, Sarawak dan Semenanjung (Orang Asli),” katanya.
Ewon berkata, sambutan terhadap pengajian itu amat memberangsangkan apabila hanya 50 tempat ditawarkan, namun menerima lebih 2,000 permohonan setiap tahun.
Beliau turut memaklumkan akan membincangkan beberapa cadangan bersama Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor bagi memperkasakan lagi pengajian Bahasa Etnik Sabah di UPSI.
“Usaha ini penting bagi memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai rasa kebersamaan dan identiti bangsa yang terus diperkasa melalui pendidikan,” katanya.
Dalam lawatan sama, beliau turut menyantuni pelajar Sabah menerusi program Ramah Mesra Bersama Pelajar Sabah anjuran Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS).
Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada IKSAS bagi menyokong pelaksanaan program kebajikan termasuk food bank, penganjuran Pesta Kaamatan serta projek penyelidikan pelajar.
Beliau berharap para pelajar Sabah di UPSI terus cemerlang dalam pengajian dan kembali menyumbang kepada pembangunan negeri.






