KOTA KINABALU, SABAH – Pelbagai usaha dilaksanakan bagi memperkasa Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sebagai pusat kecemerlangan kebudayaan serta kesenian.
Ketua Pengarah JKKN Sabah, Jasmi Rasit berkata terdapat pelbagai kelengkapan infra dan kemudahan teknikal tersedia di Kompleks JKKN Sabah dan terbuka luas buat semua penggiat industri, badan bukan kerajaan serta persatuan kebudayaan dari setiap peringkat.
“Selain itu, dalam usaha melahirkan pelajar kreatif, berkemahiran tinggi dan profesional dalam bidang seni budaya selaras keperluan perkembangan pasaran industri kreatif negara, JKKN Sabah menganjurkan Majlis Apresiasi PBSB sebagai penghargaan kepada peserta pembelajaran Modul Seni Cemerlang selama tempoh setahun bermula 2022.
“Ini juga menjadi platform kepada peserta menonjolkan bakat seni melalui pembelajaran menggunakan Modul Seni Cemerlang dan mereka telah menyelesaikan sesi penilaian Program Bimbingan Seni Budaya (PBSB) ke sekolah-sekolah pada 12-16 Jun 2023 yang lalu dengan jayanya,” katanya semasa Majlis Penutup Program Menyemarakkan Seni Budaya ‘Orang Kita Budaya Kita’ Siri 2 di Kompleks JKKN, pada Sabtu malam.
Pada majlis tersebut juga berlangsung penyampaian Anugerah Seni Budaya Negeri Sabah 2023 kepada seorang tokoh budaya ataupun pemain industri seni yang diiktiraf dan terampil kewibawaannya dalam bidang seni dan budaya di Sabah.
“Objektif penganjuran program ini adalah untuk menghargai individu atau aktivis yang berketokohan dan konsisten dalam mana-mana cabang bidang seni, melahirkan lebih ramai tokoh-tokoh budaya dan seni yang diiktiraf di samping menggalakkan penghasilan karya berdaya saing dan bermutu tinggi.
“JKKN juga menggalakkan pertumbuhan aktiviti seni budaya di pelbagai lapisan melalui kerjasama berkesan antara pemain industri seni budaya, agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan penggiat seni budaya dari dalam serta luar negara,” ujarnya. — JABATAN PENERANGAN SABAHÂ