200 Ahli Baharu, Termasuk Daripada WARISAN Sertai PBS Kundasang

200 Ahli Baharu, Termasuk Daripada WARISAN Sertai PBS Kundasang

0
SHARE
Joachim
Joachim (lapan dari kanan) merakamkan gambar bersama dengan sebahagian ahli baharu, termasuk daripada WARISAN yang menyertai PBS Kundasang di Kg. Lembah Permai, Kundasang ( Sumber Foto: Ihsan PBS )

KUNDASANG, SABAH – Seramai 200 orang ahli baharu termasuk daripada Parti Warisan (WARISAN) di sini menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS), semalam.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam menerima kemasukan mereka yang diketuai oleh Kaibi Laiman pada Program Jelajah Keluarga PBS yang diadakan di Kampung Lembah Permai, di sini.

Mengalu-alukan kemasukan mereka, Joachim yang juga Ketua Bahagian PBS Kundasang mengucapkan syabas kepada mereka.

“PBS menerima keahlian baharu kamu dengan tangan terbuka. Tiada janji-janji yang boleh diberikan. Dalam PBS, kita mengamalkan budaya “we work by example”. Kita kerja dan terus berjuang, dan saya percaya orang- orang di bawah kita akan melihat. Sehubungan itu, kita mengalu-alukan kemasukan ahli baharu,” katanya.

Mengenai Program Jelajah Keluarga PBS, Joachim berkata, ianya akan diadakan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang.

Menurutnya, Program Jelajah ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan di antara AJK bahagian dan ahli-ahli peringkat akar umbi (cawangan) serta menambah keahlian parti.

Antara yang dilaksanakan semasa Program Jelajah ini ialah memberikan taklimat, memantapkan lagi kepimpinan parti, katanya.

Selain itu, PBS akan mengadakan seminar kepimpinan untuk semua Ahli-ahli Majlis Tertinggi, Pergerakan Pemuda dan Wanita sebagai persiapan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada ahli belia dan beliawanis yang telah menyertai PBS Kundasang, dan menyeru kepada mereka agar terus mengikuti perkembangan politik negeri ini.

“Anda (belia dan beliawanis) adalah pewaris kepada kepemimpinan parti. Anda perlu bersedia, meneliti bagaimana memperkasakan kepimpinan dalam PBS,” ujarnya.

Beliau berasa amat gembira kerana ramai belia dan beliawanis menyertai PBS.

“Inilah yang kita mahukan sebenarnya. Kita berharap jangan menunggu arahan daripada peringkat Bahagian, tetapi di peringkat cawangan juga mainkan peranan aktif,” katanya.