Sabah Diramal Kekurangan Taburan Hujan Dalam Tempoh Monsun Timur Laut

Sabah Diramal Kekurangan Taburan Hujan Dalam Tempoh Monsun Timur Laut

0
SHARE
Armizan
Armizan ketika meninjau Program Jualan Rahmah Bergerak di Dewan Kampung Warisan

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah diramalkan  bakal berdepan fenomena pengurangan kadar taburan hujan sehingga 20 peratus sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) akan datang ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali fenomena terbabit merupakan sesuatu yang jarang berlaku terutamanya dalam tempoh MTL.

Menurutnya, pihaknya telah dimaklumkan mengenai perkara terbabit dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang diadakan pada 17 Oktober lepas.

Mengulas lanjut, beliau berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah membentangkan laporan rasmi berkenaan ramalan cuaca sepanjang tempoh MTL dalam mesyuarat itu.

“Sebagaimana MTL sebelum ini, sebahagian besar negeri dijangkakan akan menghadapi keadaan cuaca yang lebih lembap dalam tempoh ini yang membawa risiko kejadian banjir.

“Namun begitu, diramalkan Sabah akan mengalami keadaan agak berbeza kali ini dengan keadaan pengurangan taburan hujan.
Walaupun hujan dan ribut petir berlaku di sesetengah kawasan, dijangka jumlah hujan bulanan (mm) bagi Sabah adalah kurang 20 peratus dibawah purata dalam tempoh tersebut.

“Kebimbangan kita adalah kekurangan kadar taburan hujan itu berisiko untuk berlaku gangguan bekalan air yang sememangnya ada di Sabah ini.

“20 peratus merupakan satu kadar yang besar. Dengan kurangnya taburan itu, kita meramalkan sumber bekalan air seperti sungai dan empangan akan mengalami gangguan seterusnya kekurangan sumber bekalan air mentah ke loji rawatan air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jualan Rahmah bertempat di Dewan Kampung Warisan, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud.

Susulan itu, Armizan berkata pihaknya telah memaklumkan mengenai perkara itu kepada kerajaan negeri Sabah agar dapat membuat perbincangan bersama agensi berkaitan untuk mengambil langkah bersesuaian.

Pada masa sama, kerajaan negeri itu turut dimaklumkan agar bersedia dengan risiko gangguan bekalan air dalam masa tertentu sepanjang tempoh MTL.

“Kita juga telah meminta kerajaan negeri Sabah untuk mendapatkan laporan terperinci daripada METMalaysia untuk mengenal pasti kawasan tumpuan yang dijangka terkesan besar dengan cuaca kekurangan hujan.

“Ini penting untuk memastikan pelan awal dapat dirangka bagi menangani risiko isu gangguan bekalan air dikawasan terbabit,” katanya.