Lagi Kemalangan Maut Dekat Starbucks Jalan Lintas, Kali Ini Melibatkan Penunggang Motosikal

Lagi Kemalangan Maut Dekat Starbucks Jalan Lintas, Kali Ini Melibatkan Penunggang Motosikal

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut dirempuh kereta berhampiran Starbucks di Jalan Lintas, sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata mangsa kejadian kira-kira pukul 9 malam itu seorang lelaki berusia 20an.

“Kejadian membabitkan kenderaan Proton Saga dan motosikal jenis Honda Vario.

“Siasatan awal mendapati pemandu Proton Saga dipandu oleh seorang wanita berumur lingkungan 20an datang dari arah Jalan Lintas Plaza dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kondominium Ria, Jalan Khidmat.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu kereta tersebut telah bergerak masuk ke simpang kanan menuju ke Jalan Khidmat.

“Dalam pada masa sama, mangsa dari arah bertentangan telah melanggar bahagian sisi kiri pintu hadapan pemandu Proton Saga tersebut.

“Akibat daripada kemalangan, penunggang motosikal tersebut telah terjatuh dan terbaring di atas jalan raya di lorong paling kiri dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah bahagian dalaman yang disahkan oleh Pegawai Perubatan yang bertugas,” Kasim berkata dalam sebuah kenyataan hari ini.

Hasil siasatan polis mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Proton Saga ketika hendak memasuki simpang ke Jalan Khidmat sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan dan kematian kepada penunggang motosikal tersebut.

Walau bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu didalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalulintas.

“Pengguna jalan raya turut diingatkan agar sebelum memasuki mana-mana persimpangan jalan hendaklah memastikan dalam keadaan yang selamat barulah memasuki ke persimpangan tersebut,” tegasnya.

Pada 23 Disember lalu seorang ibu berusia 58 tahun meninggal dunia selepas dicampak keluar dari kereta dinaiki bersama suami dan dua anak lelakinya sebelum terbalik ke dalam longkang di kawasan yang sama.