KOTA KINABALU: Pereka grafik politik dari Semenanjung Malaysia, Fahmi Reza memaklumkan tiba di Kota Kinabalu pagi ini menerusi perkongsiannya di laman Facebook miliknya sekitar 3 jam yang lalu.
Dalam perkongsiannya, Fahmi turut memuat naik sekeping gambarnya di hadapan spot pelancongan terkenal, iaitu di bangunan Maybank Jalan Pantai bersama poster provokasi yang dilukisnya sebelum ini.
Poster provokasi tersebut berbentuk penghinaan terhadap Yang Dipertuan Negeri Sabah baharu, Tun Datuk Seri Musa Aman.
“Selamat pagi Sabah! Aku dah sampai KK bersama Koruptor No. 1 Sabah!,” kongsinya bersama #KoruptorNo1Sabah dan #SabahMajuJaya.
Bagaimanapun, kedatangan Fahmi tidak dapat dipastikan sama ada akan menyertai himpunan yang dianjurkan oleh sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada ambang tahun baru ini (31 Dis).
Namun yang pasti, Fahmi sebelum ini menerusi perkongsiannya di media sosial, dia mencari tempat di mana poster tersebut sesuai untuk diletakkan.
Terdahulu, Tun Musa dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam satu majlis di Istana Negara pada 17 Disember lalu.
Tun Musa turut dijadual akan mengangkat sumpah sebagai TYT Sabah Ke-11 di Istana Seri Kinabalu pada 1 Januari 2025.