“Bonda Saya Sudah Tiada”, Ibu Najib Razak Meninggal Dunia Hari

“Bonda Saya Sudah Tiada”, Ibu Najib Razak Meninggal Dunia Hari

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Ibu kepada Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Rahah Mohamad Noah dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhir petang hari ini (18 Disember) di Pusat Perubatan Prince Court ketika menerima rawatan di sini.

Allahyarhamah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein itu meninggal dunia pada usia 87 tahun.

Dalam pada itu, Datuk Seri Najib dalam satu ciapan pada media sosial Twitter miliknya berkata;

Bonda saya sudah tiada.
Kami sekeluarga di hospital.
Kesedihan dan air mata mengalir.
Tiada kata-kata untuk kehilangan ini.

Semalam Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar menziarahi Tun Rahah.

Selain Seri Paduka Baginda, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan menziarahi balu bekas Perdana Menteri kedua itu.

Sebelum itu, beberapa pemimpin negara termasuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin lain turut menziarahi Allahyarham.

Allahyarhamah Tun Rahah telah mendirikan rumah tangga dengan Tun Abdul Razak pada usia 19 tahun pada 4 September 1952, sebaik tamat persekolahan di Sekolah Convent of the Holy Infant Jesus, Johor Bahru, Johor.

Ketika itu, Tun Abdul Razak berusia 30 tahun dan berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

Hasil perkahwinan itu, pasangan itu dikurniakan lima putera iaitu Datuk Seri Mohd Najib, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam, Datuk Seri Mohd Nazir dan Datuk Mohamed Nazim.

Walaupun Tun Abdul Razak digelar sebagai ‘Bapa Pembangunan Negara’, namun Tun Rahah dikenali dengan keperibadiannya yang tidak menonjol dan pendiam.

Namun, sifatnya serba sederhana itu banyak membantu meningkatkan populariti Tun Abdul Razak sebagai seorang pemimpin negara yang disegani.

Tun Rahah yang juga anak bongsu kepada empat adik beradik dalam keluarganya, dilahirkan di Muar, Johor pada 11 Jun 1933.

Ketika Tun Razak memimpin negara dan mengetuai UMNO, Tun Rahah bergiat aktif dalam pergerakan kaum ibu UMNO dan menjadi pengasas Pergerakan Wanita UMNO Petaling Jaya.

Tun Rahah juga pernah dilantik sebagai penaung pertama Persatuan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) pada 1972 hingga 1977.